header image
 

sebuah cerita……..

Kasih dari kejauhan…

Assalamulaikum adikku, abang harap kau dan ibu akan sentiasa dibawah lindungan Allah selalu.

Maafkan abang sekiranya warkah ini mengganggu tugasmu ataupun menyentak ketenanganmu. Maafkan abang…abang tak mampu tanggung perasaan yang membelengu abang,izinkan abang meleraikan rasa dihati,mungkin buat kali ini sahaja.

Saiful Fathi, mungkin kau tidak begitu mengingati kehadiran abang dalam hidupmu, tidak mengapa, apa yang telah terjadi membuatkan abang redha atas segalanya.

Kelahiranmu adalah penantian abang selama kesunyian bergelar anak tunggal. Lantas tika abang berusia sepuluh tahun kau lahir dalam penuh kegembiraan. Percaya atau tidak namamu adalah nama yang abang pilihkan bersama ibumu. Saiful bermaksud ‘pedang’ dan Fathi bermaksud ‘kemenangan ‘ atau ‘pembela’. Kesinambungan kepada nama yang abang miliki yang pastinya kau tahu maksudnya.

Itu adalah 28 tahun yang lampau,kini kau pastinya telah dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri, terima kasih kerana masih membawa ibu bersama didalam keluargamu. Dan tahniah atas perkahwinanmu lima tahun yang lepas,bagaimana dengan hadiah yang abang berikan? Abang harap hadiah yang tidak kau tahu pengirimnya itu akan kau gunakan sebaik-baiknya. Pimpinlah keluargamu sebaik-baiknya,jadikan keluarga kita sebagai pengajaran. Didiklah Umarul Aiman dalam landasan Islam yang sebenarnya.

Pastinya kau terkejut dan tertanya-tanya bagaimana abang mengetahui tentang dirimu. Maafkan abang, sebenarnya abang telah memerhatikanmu sebaik sahaja abang berusia 17 tahun, dan detik itu kau baru sahaja melangkah dialam persekolahan. Perbezaan usia yang terlalu jauh tidak pernah memisahkan kita sebenarnya. Walau kita sebenarnya memang terpisah. Terpisah akibat takdir yang tidak memihak pada kita.

Ah…bagaimana untuk kuceritakan padamu adikku.

Sejak perpisahan ayah dan ibu, hidup abang benar-benar tak keruan. Ayah meminta ibu membuat pilihan antara kita, ya, pastinya ibu memilih dirimu yang waktu itu hanya berusia dua tahun.

Malam celaka itu amat abang ingati hingga detik ini. Dengan amat jelas sekali. Malam itu ayah pulang dalam keadaan mabuk dan terhuyung hayang. Sebaik sahaja abang mendengar jerkahan ayah menyuruh ibu membuka pintu, abang sudah dapat menduga pasti akan ada perkara buruk yang akan terjadi. Walau perkara ini telah amat sering berlaku sejak ayah kehilangan pekerjaan akibat ekonomi negara yang merudum dua hari selepas kelahiranmu. Entah kenapa malam ini ibu agak berani menjawab segala caci maki ayah yang telah lama tepu dalam pendengaran abang. Dan jeritan ibu sebaik sahaja tapak tangan ayah hinggap kepipinya membuatkan abang semakin ketakutan. Abang bersembunyi disebalik pintu. Abang tahu itu adalah permulaan dari sifat ganas ayah untuk malam itu. Dan malam itu juga tanpa belas kasihan, ayah menghalau ibu dan juga dirimu yang ibu kendong dalam keadaan terkejut ketakutan. Abang tahu ibu berkali memanggil nama abang untuk dibawa bersama, tapi abang terlalu takut untuk keluar dari bilik. Malam itu abang tertidur dalam tangisan. Esoknya ayah menggesa abang mengemas kain baju dan kemudiannya kami keluar meninggalkan rumah. Sepanjang perjalanan, abang menahan sendu. Dalam ketakutan melihat ayah yang bagaikan tiada perasaan abang cuma mampu berdoa moga Allah akan pertemukan kita.

Sejak itu abang menjalani kehidupan yang agak asing. Rupanya ayah kini telah terlibat dengan perniagaan gelap. Ya…mungkin kerana itulah ayah dan ibu sering bertengkar. Namun abang bernasib baik kerana masih dibenarkan bersekolah. Bersekolah dalam keadaan yatim piatu. Ayah amat sibuk dengan urusannya. Kadangkala tidak pulang hampir sebulan. Sepanjang tempoh itu akan ada rakan-rakannya yang menitipkan wang untuk abang. Hubungan ayah dan abang amat renggang. Sejak perpisahan itu ayah amat sukar untuk berbual dengan abang. Ayah bukan lagi insan yang abang kenal selama ini, dia telah menjadi orang asing. Hidup abang adalah sendirian. Ayah cuma memberikan duit belanja. Menguruskannya adalah urusan abang. Ayah tidak ghairah untuk membeli uniform sekolah yang baru setiap kali bermulanya penggal persekolahan. Katanya jika abang mahu bersekolah,abanglah yang harus menguruskan segala-galanya. Kami juga sering berpindah-pindah dari satu tempat ke satu tempat. Abang tahu, ayah menjadi buruan polis. Setiap kali memandu, ayah akan mengelak dari pemeriksaan polis. Kami sering tergesa-gesa mengemas pakaian dan membawa apa yang tercapai sekiranya mendapat tahu ada polis yang menjejaki kami. Hidup abang seolah-olah seorang pelarian. Akhirnya abang cuma mampu bersekolah hingga tingkatan tiga. Keputusan SRP abang sekadar cukup makan sahaja. Mana mungkin abang belajar dalam keadaan yang cukup menyesakkan. Abang sering dibawa ketempat yang abang tak diketahui.

Seusia 16 tahun abang mula terlibat dengan pekerjaan yang selama ini diuruskan oleh ayah. Menjual benda haram bukannya mudah. Tiada siapa yang boleh dipercayai. Mulanya ayah tidak mahu abang terlibat. Tetapi satu ketika ayah ditangkap dan dipenjarakan. Tanpa pesan, ayah hilang begitu sahaja. Abang yang tinggal bersama seorang rakan ayah terpinga-pinga bila diberitahu ayah dipenjarakan. Kemana abang akan pergi? Lalu abang digunakan oleh rakan-rakan  ayah untuk menjalankan urusan menjual atau memungut stok. Dalam tempoh yang singkat urusan kami mula mantap. Rakan-rakan ayah tidak lagi sering diburu. Tempoh dua belas tahun adalah tempoh gemilang untuk abang. Abang dapat menjejaki ibu setahun selepas ayah ditangkap.

Tika itu kau dan ibu sedang membeli baju seragam sekolah disebuah pasaraya. Abang dapat melihat wajahmu dan ibu dengan jelas. Abang mengikutimu sehingga kerumah. Tapi abang sekadar memerhatimu dari jauh. Pengalaman bergelumang dengan dunia hitam membuatkan abang banyak belajar bahawa orang seperti abang dan ayah ini tidak layak untuk dikasihi atau dikenali sekalipun. Walau kerinduan yang abang tanggung amat perit sekali. Abang tahu ibu membesarkanmu dalam keadaan yang amat payah sekali. Ibu bekerja sebagai pencuci lantai di pejabat. Saban hari tepat jam 1.00 ibu akan mengambilmu pulang dari sekolah, meninggalkanmu dirumah jiran dan kemudiannya kembali mengerah tulang empat kerat. Sehinggalah kau bersekolah asrama, ibu tidak lagi perlu berulang-alik mengambilmu menaiki bas awam. Abang tahu ibu sebenarnya amat takut untuk melepaskan mu bersendirian walau kemanapun. Ya…mungkin takut akan kehilangan seorang lagi anaknya.

Di asrama juga kau tidak terlepas dari pemerhatian abang. Rakan-rakan abang sering memerhatikanmu dan melaporkan gerak lakumu, sedang abang saban hari mengekori ibu dari jauh, ya…andainya ada kesempatan. Pagi, setelah malamnya abang sibuk menguruskan stok dan penghantaran…juga penyeludupan..mungkin. Atau petangnya, sebelum abang memulakan kerja-kerja yang telah dirancang rapi. Boleh dikatakan abang mampu mengira kedut-kedut tua diwajah ibu yang bertambah setiap hari. Kalau diikutkan hati ingin sahaja abang mengirimkan wang hasil pekerjaan abang. Tapi abang tidak mahu kau hidup dengan wang haram. Seperti darah yang mengalir dalam tubuh abang. Kau suci…tidak sekotor abang. Kau membesar sebagai remaja yang baik akhlaknya. Tidak sekalipun berfoya-foya atau menyentuh benda yang haram. Ya..mungkin berkat didikan dan doa dari ibu.

Hidup didalam dunia yang buas membuatkan abang terlalu keseorangan. Walau abang ramai rakan-rakan. Hidup didunia ini penuh dengan penipuan dan helah. Selalunya abang yang memasang jerat. Agar saingan jatuh satu demi satu. Ikutkan hati, abang memang ingin keluar dari dunia yang kotor ini, dunia yang hanya menghamparkan kemusnahan. Namun abang tak mampu. Abang telah terlalu jauh. Sudah terlalu banyak kehidupan yang abang musnahkan. Abang telah menjadi orang penting. Jumlah barangan yang abang dagangkan semakin besar, seperti juga keuntungannya. Dengan hasil haram inilah abang mampu membeli dua buah banglo yang berharga separuh juta. Ah..banglo-banglo itu kosong sebenarnya. Kosong dari perasaan dan kasih sayang. Yang ada cuma maksiat dan kehidupan yang menipu. Bagi abang, saat itu sudah tiada jalan pulang atau taubat. Jika abang ingin keluar dari dunia ini, abang cuma ada satu jalan, iaitu menyerah diri kepada polis. Satu perkara yang amat mustahil bagi abang.

Satu ketika abang terperangkap. Malam itu malam tahun baru, seperti tahun-tahun sebelum ini, abang hanyut dalam mabuk dan dakapan wanita-wanita cantik. Sedikit alpa, menyebabkan abang terminum arak yang dicampur heroin dalam jumlah yang agak banyak. Barang yang selama ini abang dagangkan tanpa menyentuhnya. Entah musuh mana yang telah memerangkap abang. Mungkin juga dia antara rakan-rakan abang. Sejak detik itu abang menjadi penagih kepada barang haram itu. Sambil menguruskannya, abang mula menjadikannya santapan harian.

Lantaran itu kesihatan abang mula terganggu. Setahun, dua tahun, kesihatan abang makin buruk. Segala langkah dan tindakan abang tidak setangkas dulu. Perniagaan abang mula terjejas. Abang hampir tidak mampu menguruskannya lagi. Akhirnya abang diberkas ketika sedang khayal didalam gudang tempat kami memproses bekalan. Hari itu adalah hari kejayaan buat pihak polis yang telah lama mengintip dan menjejaki kami. Malah tanpa abang dapat menyangka, rupanya salah seorang dari rakan abang juga adalah pengintip polis. Mungkin waktu itu abang merasakan ianya adalah detik kemusnahan abang. Namun detik itulah juga menjadi detik mula penghijrahan abang. Walaupun abang tahu tempohnya tidak akan setimpal dengan zaman gelap abang,abang bersyukur kerana detik tu adalah anugerah dari Yang Esa.

Sejak itu abang mula menjadi tahanan pusat serenti. Kemudiannya abang menyambung hukuman dipenjara. Agak lama juga abang di pusat serenti. Hampir empat tahun. Disinilah abang mengenali Islam yang sebenar. Agama yang telah lama abang tinggalkan. Solat dan puasa mula abang kerjakan. Ramai ustaz-ustaz disini yang bersedia membantu kami yang mahu kembali ke jalan yang benar. Namun abang tahu, abang tidak akan dapat menjejakkan kaki kedunia luar lagi, abang bukan lagi manusia yang bebas. Kini abang menyambung hukuman di penjara.

Saiful, sampaikanlah salam kerinduan abang buat ibu yang abang cintai. Abang mohon ampun kerana sepanjang abang memerhatikanmu abang tidak pernah punya kekuatan untuk berdepan dengan ibu. Buat pengetahuanmu, kita pernah bertemu. Sewaktu kalian sedang memilih baju kemeja disebuah pasaraya. Abang mendekatimu sewaktu ibu agak jauh darimu. Pastinya kau agak kehairanan ketika seorang pemuda menghampirimu dan bertanyakan adakah kau masih bersekolah lagi. Jawabmu tika itu kau sedang membuat persiapan ke UIA. Bila ibu menghampirimu kembali, pemuda itu bergegas memohon diri. Abang memandang ibu cuma dari jauh. Sungguh, abang tidak mampu untuk berhadapan dengan ibu.

Lebih dua dekad abang bersendirian. Abang juga akan ‘pulang’ bersendirian.. Abang telah letih dengan kehidupan yang menyesakkan. Sepanjang hidup, abang tidak memiliki apa pun sebenarnya. Atau mungkin boleh dikatakan abang tidak pernah hidup..Namun abang redha segalanya. Abang mohon Saiful dan ibu doakanlah moga segala dosa abang akan diampunkan serta kita akan dapat bertemu diakhirat kelak. Atau andai dengan izin Allah kita akan dipertemukan difirdausi, setelah abang selesai menjalani hukuman Ar-Rahim. Didunia ini abang cuma punya dua insan yang abang cintai dunia dan akhirat kerana Allah. Pastilah insan itu adalah ibu dan dirimu.

Satu permintaan abang, kiranya Saiful mampu, tolonglah tunaikan haji untuk abang. Doakan moga abang dapat menitipkan syahadah disaat abang pulang menghadapi-Nya.

Salam kasih

Amir Syuhada

“0987, ada pelawat untuk kamu”

Segera aku menyudahkan doa. Meraup wajahku dan bingkas melipat sejadah. Pelawat? Siapakah yang datang? Black pernah juga melawatku sekali di Serenti. Tapi selepas itu tiada berita. Mungkin dia tidak tahu dimana aku ditempatkan.

Black, pemuda awal 20- an. Pernah hampir separuh mati dibelasah oleh kawan-kawanku. Selamat apabila aku tiba-tiba bertindak menghentikan segalanya. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Sedangkan akulah yang mengarahkan supaya dia dikerjakan hingga mati. Akibat kesilapannya mencicirkan 20 gram bekalan yang hampir sampai ketangan pembeli. Mungkin kerana bayangan Saiful menjelma difikiranku. Atau mungkinkah pelawat ini adalah seseorang yang amat kurindui.

“Sabar ibu, kita akan bertemu juga dengan abang Amir”

Aku cuba menenangkan ibu yang sebak sebaik sahaja melangkah ke ruang pelawat. Kupeluk bahu ibu. Wajah ibu begitu sayu kulihat. Ibu tidak pernah menitiskan air matanya dihadapanku. Cuma selepas itulah aku kerap melihat ibu menitiskan air mata. Selepas mengetahui akan kewujudan manusia bernama Amir Syuhada. Tidak dapat kulupakan betapa terkejutnya ibu apabila aku bertanyakan adakah ibu kenal seseorang yang bernama Amir Syuhada. Ya, cuma selepas itulah ibu mula jadi pendiam dan sering murung.

Seminggu aku tak keruan apabila menerima warkah yang tidak diundang ini. Jika benar seperti cerita penulis warkah ini, aku pasti dia sedang menunggu hukuman mati. Jika benar kata si penulis ini, dia pastinya adalah abang kandungku. Insan yang tidak pernah disebut oleh bibir ibuku. Tapi aku tidak menolak kemungkinan akan kewujudannya. Nenek pernah tersasul memanggil nama Amir sewaktu memanggilku pulang dari bermain bersama rakan-rakanku dikampung. Cuma itulah sekali.

Sebaik sahaja aku melihat reaksi ibu itu. Aku menjadi hampir tidak waras. Sebagai peguam aku amat pasti cuma satu hukuman sahaja yang untuk sipesalah ini, iaitu hukuman gantung sampai mati dimana tarikh perlaksanaan hukuman ini adalah sesuatu yang tidak boleh dijangka. Ia akan dijalankan bila-bila masa sahaja, terutamanya selepas rayuan pengampunan ditolak, kesalahan mengedar dadah selalunya sukar untuk mendapat pengampunan. Sikap ibu yang hampir tidak mahu bercakap apa-apa denganku amat membimbangkan aku dan Fatihah, isteriku. Apatah lagi apabila Aiman yang sering tidur bersama neneknya, mengadu mendengar Ibu menyebut-nyebut nama Amir dalam tidurnya.

Segalanya mendesak aku untuk mencari Amir Syuhada. Pencarianku tidaklah sukar. Cuma perasaan takut akan hampa sekiranya mendapat tahu Amir Syuhada telah menjalani hukumannya menyebabkan aku agak kelam kabut.

Lantas perkara yang paling perit pastinya adalah untuk memberitahu Ibu. Setelah hampir dua minggu Ibu menjadi pemurung. Aku cuba juga berbicara dengan ibu.

“ Kalau ibu tidak meninggalkan Amir malam itu, pasti dia tinggal bersama kita.”

Ayat inilah yang pahit untuk kutelan. Sedari kecil aku membesar dalam keadaan aku tidak mengenali ayahku. Nenek pun tidak pernah bercerita. Cuma jika pulang kekampung ibu tidak gemar aku bermain bersama saudara-saudaraku. Mungkin gusar sekiranya aku mendengar cerita- cerita yang tidak enak didengar. Semakin dewasa aku semakin dapat menangkap situasi yang sebenar. Telingaku bukannya tuli, aku masih dapat menangkap cemuhan-cemuhan dari saudara-saudaraku, walaupun tika itu aku tidak mengerti apa yang dicemuhnya. Namun dalam diam aku dapat membuat kesimpulan, ayah pastinya bukan orang yang baik.

Amir, nama itu kadangkala menjadi pertanyaan juga dibenakku. Walau tidak pernah kutanyakan tentang nama itu pada ibu, tapi ia tetap kusimpan dalam kotak fikiranku. Sibuk dengan hidupku, sibuk dengan pelajaran, sibuk dengan kerjaya, yang segalanya ku lakukan untuk menebus maruah ibuku, nama itu menjadi luput dengan sendirinya

“ Bagaimana kau tahu nama tu, Saiful?”

“ Ibu, terimalah segalanya sebagai takdir.”

Ibu mengusap rambutku. Sedang aku menahan debaran untuk menghadapi reaksi ibu jika mengetahui Amir sedang menghadapi hukuman gantung sampai mati.

“Maaf saudara, Amir Syuhada tidak mahu menerima pelawat, ini ada pesanan dari dia.”

Kata-kata pegawai penjara itu membuatkan penantian kami dibilik pelawat seolah sia-sia. Aku menggenggam erat jemari ibuku, yang matanya mula bergenang air mata. Agak gocoh aku menyambut kertas putih yang agak terkelepet dari tangan pegawai yang berwajah serius itu.

“ Ibu, Saiful, maafkanlah dan ampunkanlah abang, abang tidak mahu pertemuan ini akan menjadi rantai dihati abang, akan mencuit hati abang untuk berharap pada dunia. Redhalah atas segalanya. Sekarang abang cuma takut andainya abang mati bukan dalam keadaan beriman.”

Pantas aku meraih bahu ibu dan memeluk erat. Esakan ibu mula kedengaran. Anak mataku juga dapat merasakan genangan air mata.

Ya, Karim…ampunkanlah dosa-dosa abangku. Sesungguhnya dia mangsa keadaan. Terimalah taubatnya…amin.

~ by busyra on May 6, 2006.

Leave a Reply